Pernah Terfikir Mengapa Restoran Makanan Segera Guna Logo Warna Merah

Perasan atau tidak restoran makanan segera atau fast food di Malaysia seperti McDonald’s, KFC, Wendy’s, Burger King, Pizza Hut dan lain-lain menggunakan logo pada tulisan atau corak berwarna merah? Apabila berjalan atau memandu lalu di hadapan restoran-restoran ini, anda teringin dan berasa lapar?

Salah satu teori popular mengapa syarikat gergasi makan segera ini menggunakan warna merah pada logo mereka kerana dikatakan warna merah mampu membangkitkan selera, menimbulkan rasa lapar yang menjadikan kita cenderung untuk menapak kaki ke restoran dan membeli makanannya.

Menurut psikologi warna, merah dikaitkan dengan keinginan, kuasa dan cinta. Bergabung pula dengan warna kuning yang dikaitkan dengan perasaan gembira, selesa, kepuasan dan kecekapan, melakarkan kepuasan dan kenikmatan yang kita rasa apabila kita menjamu selera dengan orang-orang penting dalam hidup kita.

Patutlah kebanyakan restoran makanan segera menggunakan warna merah dan kuning. Secara tidak sedar, ia mempengaruhi apa sahaja yang kita sedang buat ketika itu dan pergi mencari makan.

Menurut pakar pemasaran, teknik pemasaran sesuatu syarikat bertujuan untuk menyatukan orang ramai dengan emosi; mewujudkan kisah-kisah menarik dengan menyelami impian, harapan dan perasaan ingin tahu. Dalam hal ini, warna memainkan peranan penting kerana prosesnya dalam keadaan tidak sedar.

Sama ada kita sedar atau tidak, warna mempunyai konotasi dan kita membuat penilaian segera berdasarkan hal itu.

Jadi, sebab itulah kita akan lebih tertarik dengan makanan segera berbanding makanan lain. Pandai betul mereka menggunakan psikologi warna untuk menarik perhatian orang ramai kan? Nak pula orang Malaysia pantang betul nampak makanan.

Sumber: Insider